KLUANG: Empat individu termasuk tiga warga emas berhadapan detik cemas selepas kereta dinaiki dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 48.5 Jalan Batu Pahat – Mersing berhampiran Taman Desa di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.30 pagi melibatkan dua orang lelaki serta dua orang wanita masing-masing berusia 58 hingga 63 tahun.
Katanya, ketika kejadian, kereta Produa Alza yang dipandu Mohamad Din Siron, 62, itu daripada Ayer Hitam menuju ke bandar Kluang.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, sebatang pokok yang berada di tepi jalan (sebelah kiri kereta) secara tiba-tiba tumbang lalu menghempap kenderaan mangsa.
“Akibat kejadian itu, tiga daripada mereka termasuk Mohamad Din, Aini Saleh, 63, dan Normah Za’Abah, 58, mengalami kenderaan dan dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang manakala Mokhtar Siron, 60, tidak cedera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, kesemua mereka difahamkan datang dari Melaka untuk melawat seorang saudaranya yang dirawat di HEBHK. – UTUSAN