KOTA KINABALU: Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Anil Sandhu mengingatkan pemimpin DAP agar lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti bagi mengekalkan keharmonian di dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng boleh menyinggung perasaan pemimpin-pemimpin di dalam kerajaan Perpaduan.
“Teguran yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Guan Eng semalam adalah satu langkah yang tepat dalam menjaga keharmonian dan kerjasama dalam kerajaan Madani.
“Sebagai ahli UMNO, saya ingin menegaskan bahawa sokongan BN terhadap kerajaan Madani tidak wajar diragui atau dipersoalkan. Kami tetap komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Guan Eng yang sebelum ini mengingatkan UMNO bahawa sebarang program bersama dengan parti pembangkang, terutama Pas akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam kerajaan Perpaduan.
Anil, yang juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu berkata, kehadiran Pas yang memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Najib Razak adalah hak mereka sebagai sebuah parti politik. Sokongan sebegitu tidak ada kaitan dengan UMNO mahupun isu dalaman parti berkenaan.
Jelasnya, tindakan Pas itu mencerminkan penghargaan mereka terhadap jasa dan kepimpinan Najib yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri. – UTUSAN