JOHOR BAHRU : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM560,000 dalam dua serbuan Op Taring Landai Khas di Muar dan Mersing, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, operasi sempena perayaan Tahun Baru Cina itu adalah susulan maklumat risikan operasi berkaitan penjualan mercun dan bunga api tiada kebenaran pihak berkuasa.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 4.30 petang, sepasukan polis dari Unit Risik Markas Operasi PPM Wilayah Dua Muar dibantu Pasukan Siasatan Khas Jabatan KDNKA PDRM melakukan serbuan di Kawasan Perindustrian Parit Hulu, Jalan Bakri, Muar.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan dengan disaksikan penjaga premis iaitu seorang lelaki warga tempatan telah menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api iaitu 319 kotak yang dianggarkan bernilai RM503,665.
“Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan lesen yang sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes itu,” katanya di sini hari ini.
Kumar berkata, serbuan kedua dibuat kira-kira 10.30 malam, ketika sepasukan polis dari Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Mersing mengesan pergerakan sebuah Toyota Vios berwarna putih dipandu dalam keadaan yang mencurigakan ketika menjalankan tugas pemantauan dan berjaya menahan kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan di kawasan Taman Desa Sri Endau, Mersing.
Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menjumpai pelbagai jenis mercun serta bunga api bernilai RM63,000 yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan but kereta.
“Ketika proses dokumentasi sedang dilakukan di Pejabat Markas Taktikal PPM W2 Mersing, tangkapan telah beberapa kali cuba memberikan wang suapan berjumlah RM2,500 kepada pasukan operasi bagi mengelakkan dari diambil tindakan undang-undang walaupun amaran telah diberikan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan manakala salah seorang akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut. – UTUSAN