PETALING JAYA: Walaupun digandingkan bersama kekasih, Sky Iskandar dalam projek yang sama, pelakon, Nia Atasha, tetap menjaga hubungan profesional di set penggambaran.
Jelasnya, pengalaman dalam dunia peragaan selain terlibat beberapa projek lakonan membuatkannya sangat peka terhadap disiplin semasa bekerja.
“Tiada masalah bekerja dengan kekasih sendiri. Sekarang ini pun kami berdua sedang menjalani penggambaran sebuah filem bersama-sama bersama Merqeen, Elizabeth Tan dan Daiyan Trisha. Semuanya baik-baik sahaja.
“Lagipula kami berdua mempunyai latar belakang pengalaman bekerja dalam industri. Sebelum ini kami seorang model dan pernah terlibat dalam projek filem indie juga,” katanya.
Nia ditemui Utusan Malaysia semasa majlis tayangan perdana filem Soloz: Game of Life, baru-baru ini.
Tambah pelakon Nafsu itu lagi, dia selesa bercakap secara terbuka mengenai percintaannya namun buat masa ini, masing-masing mahu memberikan fokus kepada kerjaya.
“Tiada sebab untuk sembunyikan percintaan. Kami tidak terlalu menunjuk, tapi tidak juga terlalu berahsia.
“Kami perlahan-lahan ke arah perkahwinan. Kami ada berbincang mengenai itu, maklumlah bila kita berada dalam perhubungan, kita nak pastikan ke mana akhir perhubungan ini.
“Sekarang kami berdua mahu fokus kepada kerjaya yang sedang berkembang sangat baik,” jelasnya. -UTUSAN