Sindiket balas dendam curi sampan Kastam

Sindiket balas dendam curi sampan Kastam

SAMPAN fiber milik Kastam (kiri) yang dicuri sindiket selepas tidak berpuas hati sering kali diserbu pihak berkuasa di Kuala Perlis.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Gara-gara tidak berpuas hati asyik diserbu, sindiket penyeludupan bertindak luar jangkaan dengan mencuri sampan fiber dianggarkan bernilai RM150,000 milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) minggu lalu. 

Sindiket berkenaan dipercayai bertindak balas melakukan tindakan tersebut selepas berang dengan beberapa siri serbuan penyeludupan dadah dan ketum oleh penguatkuasa sejak kebelakangan ini.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, aset Kastam yang digunakan bagi tujuan pemantauan tersebut dipercayai dicuri sekitar pukul 4 pagi, pada Isnin minggu lalu dengan terdapat kesan potongan tali ditinggalkan penjenayah berkenaan.

Katanya, pada awalnya, sindiket berkenaan merancang untuk mencuri sampan yang dirampas Kastam dalam serbuan sebelum ini, namun apabila tiba di kawasan jeti di sini, pihak terlibat tidak dapat mengeluarkan sampan berkenaan kerana air cetek.

“Oleh demikian, mereka bertindak memotong tali pada sampan Kastam ini yang bernilai RM150,000 dan menundanya dengan sebuah bot lain keluar dari jeti Kastam Kuala Perlis,” katanya ketika ditemui di pejabat Kastam cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis, di sini semalam.

Ismail memberitahu, pihaknya telah membuat laporan polis berkaitan kehilangan aset itu, malah beberapa siri siasatan turut dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Sampan berkenaan berjaya ditemukan di Khlong Senten, Tammalang, Thailand dalam keadaan baik iaitu jarak kira-kira 30 kilometer dari lokasi aset berkenaan hilang dan diletakkan di kawasan rimbunan pokok dan pihak sindiket dipercayai cuba menyembunyikan aset itu sebelum melakukan pengubahsuaian.

“Ini merupakan kali pertama aset Kastam negeri disabotaj oleh sindiket yang cuba membalas dendam ekoran tidak berpuas hati dengan beberapa siri serbuan kita lakukan,” katanya. 

Kata Ismail, buat masa ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu turut didalangi oleh nelayan tempatan dan Thailand. 

Katanya, sampan fiber  itu juga akan dipulangkan oleh pihak berkuasa Thailand kepada Kastam negeri dalam masa terdekat.

“Kita juga akan perkemaskan prosedur operasi standard (SOP) selepas ini daripada segi kesiapsiagaan dan menyusun strategi yang lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya