KOTA KINABALU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga di Sandakan tidak perlu diadakan sekarang.
Mengambil kira tempoh DUN Sabah yang akan berakhir kurang daripada sembilan bulan maka, adalah lebih baik pemilihan itu diadakan sekali dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Prof. Madya Dr. Syahruddin Ahmad berkata, pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga diisi menerusi Pilihanraya Negeri (PRN) Ke-17 yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Beliau yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS berkata, tempoh untuk mandat kerajaan sedia ada akan berakhir dalam masa terdekat jadi, tidak perlulah mengadakan PRK.
Walau bagaimanapun, rakyat kawasan DUN Sibuga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan terutama dalam hal berkaitan kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka sehingga mandat baharu diberikan kepada parti yang bakal memerintah negeri Sabah selepas PRN17 nanti.
Kerusi DUN Sungai Sibuga kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ semalam akibat komplikasi jantung.
Mohamad Hamsan,65, berkhidmat sebagai ADUN Sungai Sibuga selepas memenangi kerusi DUN berkenaan di bawah payung UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu mengambil alih kerusi DUN Sungai Sibuga daripada penyandangnya, bekas Ketua Menteri yang kini dilantik Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman. – UTUSAN