Tidak perlu penjenamaan, kekalkan nama Jalan Hang Tuah

Tidak perlu penjenamaan, kekalkan nama Jalan Hang Tuah

DR. MOHD. Yadzil Yaakub ditemui pemberita di Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nama Jalan Hang Tuah di sini perlu dikekalkan sebagai melambangkan sejarah negeri Melaka di samping menjadi tanda nasionalisme kepada negara.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, nama Jalan Hang Tuah itu sendiri sudah menjadi tarikan utama kepada pelancong yang datang ke negeri ini.

Kata beliau, tidak ada keperluan untuk jalan tersebut dijenamakan semula kepada Jonker Walk 2.0 semata-mata untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Tidak perlu penjenamaan semula (Jonker Walk 2.0). Sepatutnya nama-nama jalan di negeri ini perlu menggunakan nama yang terdapat dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka sebagai tanda nasionalisme dan kesetiaan kepada negara.

“Jangan jadikan Jalan Hang Tuah yang telah menjadi tapak perniagaan yang baik terutama untuk orang Melayu sebagai kawasan ganti Jonker Walk yang terjejas akibat pelaksanaan zon bebas kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong mencadangkan Jalan Hang Tuah dijenamakan semula menjadi pusat tarikan pelancong berkonsepkan Jonker Walk.

Menurut Chee Leong kawasan yang mungkin boleh dikenali sebagai Jonker Walk 2.0 itu berpotensi merancakkan lagi ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki lebih luas berbanding Jonker Walk.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin memaklumkan cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah belum pernah dibincangkan dan memerlukan kajian lanjut supaya tidak merosakkan perniagaan lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya