SHAH ALAM: Pelakon, Zazleen Zulkafli, menjelaskan keputusannya untuk tampil dengan imej tidak lagi bertudung adalah disebabkan mahu menjadi dirinya yang sebenar.
Jelas Zazleen, sebenarnya dia sudah lama mahu melakukan demikian namun hasrat itu ditangguhkan kerana menghormati permintaan ibu yang juga seniwati, Normala Omar.
“Kalau perasan, saya pakai selendang hanyalah di media sosial dan ketika bersama keluarga sahaja. Apabila bernyanyi di kelab, saya pakai topi.
“Saya selesa begitu. Tambahan pula karakter saya gila-gila, apabila bertudung ia seperti bertentangan.
“Pernah ada yang tegur saya, apabila berhijab perlu berkelakuan sopan. Tapi dengan bertopi, saya seperti menjadi diri sendiri,” katanya.
Zazleen ditemui Utusan Malaysia di konsert minggu keempat CSOIAM di Studio TV3, Glenmarie, baru-baru ini.
Pelakon Dunia Baru itu mengakui ibu dan adik-beradiknya kecewa ketika dimaklumkan mengenai keputusan tersebut, namun masing-masing menghormati pilihannya.
“Saya telefon emak untuk beritahu mungkin sudah masanya saya tidak lagi bertudung. Sebolehnya dia mahu selamatkan saya agar tetap juga berhijab, tapi saya minta emak doakan yang baik-baik.
“Biar saya dapatkan diri saya semula yang bukan plastik depan orang. Saya hanya perlukan restu emak, akhirnya dia restui keputusan saya.
“Adik-beradik kecewa tapi mereka tidak buang saya.
“Sebelum ini ketika bertopi pun saya sudah tidak bertudung, tapi tiada siapa yang rasa ia suatu isu. Cuma bezanya sekarang, saya sudah berani untuk tidak berhijab sepenuhnya,” jelasnya. -UTUSAN