“KALAU berhijab tidak semestinya kena bawa watak baik sahaja.”
Pelakon, Hannah Delisha akur bahawa naskhah dengan elemen wanita curangi, dendam seorang isteri, dan penyondol antara drama yang mudah mendapat tontonan tinggi. Sebagai pelakon, dia harus profesional membawakan apa jua jenis watak walaupun seorang penyondol.
Bagi Hanna atau Hannah Adlina Blackburne Birch, 29, karakter antagonis juga boleh dijelmakan dengan baik oleh seorang pelakon yang bertudung. Kali terakhir Hannah membawa karakter sebegitu adalah sebelum berhijab. Kemudian, banyak karakter selepas itu memintanya menjadi perempuan baik atau berendam air mata.
“Kita bawa watak jahat itu sekali sahaja. Tidak semestinya kita berhijab kena bawa karakter yang baik sahaja. Lagi pula ini semua lakonan.
“Saya tidak kisah membawakan watak seorang penyondol asalkan jalan ceritanya bagus. Di akhirnya, ia tentang apa yang stesen penyiaran mahu dan juga penonton.
“Kalau mereka suka dan naskhah begini boleh jual, mengapa tidak. Saya pernah bawa karakter penyondol dahulu sebelum saya berhijab. Saya tiada masalah membawakan watak begitu lagi kerana mahu cabar diri,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, penyanyi Esok Masih Ada ini juga sedang menjalani penggambaran drama panjang Dendam Seorang Madu membuatkan jadual kerjanya sangat padat sehingga Mac. Di sebalik kesibukan, Hanna bersyukur kerana suami, Imam Shah adalah insan yang sangat memahami tuntutan kerjanya.
Selebriti asal Singapura itu mendedahkan amat jarang untuk dia dan suami dapat meluangkan masa di rumah atas faktor kerja. Namun, mereka berdua akan cuba mencari waktu untuk bercuti bersama selepas tamat sesuatu projek.
“Saya dan suami sekarang ini masing-masing sedang menjalani penggambaran drama bersiri. Kadang kalau saya balik, dia belum di rumah. Begitu juga sebaliknya, kadang dia balik dulu, saya pula tiada. Kalau ada, Alhamdulillah. Ia sudah menjadi rutin yang kami masing-masing sudah terima.
“Kami tidak rasa itu masalah sebab kami berdua pelakon. Cuma habis projek memang kami selalunya akan merancang percutian,” tambahnya.
Bercakap mengenai impiannya untuk menimang anak sulung sebelum mencecah usia 30 tahun, pelakon asal Singapura itu menyerahkan semuanya kepada takdir apalagi dia sudah pernah mengalami keguguran pada Mac tahun lalu.
“Sebelum gugur saya percaya kepada masa iaitu bila Allah mahu beri, Dia akan bagi. tapi silap saya, saya tidak betul merancang. Saya sebelum ini tidak percaya kepada perancangan keluarga sebab bagi saya, apa guna merancang tapi belum rezeki dapat anak?
“Lepas gugur, ibu ada nasihatkan saya selain percaya kepada takdir, saya juga perlu fikirkan kerjaya sebagai pelakon yang sangat sibuk.
“Setiap wanita lain-lain (alamai perubahan) badan. Ada yang proses kehamilan mereka sangat lancar sampai anak dilahirkan. Bagi saya, trimester pertama memang kena rehat. Itulah pentingnya perancangan.
“Kalau rezeki saya untuk dapat anak melebihi usia 30 tahun, saya kena terima,” jelasnya.
CANTIK MINUM SUSU
Dalam perkembangan lain, Hanna dilantik sebagai duta produk makanan kesihatan iaitu minuman susu kencantikan Conboo.
Jelasnya, sejak mengambil minuman tersebut wajahnya tidak lagi kusam apalagi mengenakan solekan selama berjam-jam di set penggambaran.
“Apa yang saya sedari, kulit saya lebih berseri apalagi sebagai pelakon kita kerja dari pagi sampai malam. Bila tiada makanan tambahan, kulit kita akan kusam dan solekan pun tidak sebati di kulit.
“Bagi saya, cantik ini bukan hanya dari luaran kulit, tapi juga dalaman, Kita kena berdisiplin ubah gaya hidup dengan cukup tidur dan minum banyak air,” katanya.