KUALA TERENGGANU: Keterujaan orang ramai untuk melihat kesan hakisan dari jarak dekat menyebabkan kawasan pantai di negeri ini masih dikunjungi walaupun amaran diberikan supaya tidak menghampirinya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, anggotanya giat menjalankan pemantauan di 21 lokasi pantai berbahaya akibat hakisan yang masih dikunjungi orang ramai.
Katanya, meskipun banyak amaran diberikan supaya tidak menghampiri pantai, orang ramai masih berdegil dan ghairah datang ke pantai untuk melihat kesan hakisan dari jarak dekat.
“Pemantauan dilakukan di lokasi pantai tumpuan ramai seperti Pantai Seberang Takir, Mengabang Telipot dan Batu Rakit di Kuala Nerus. Ini penting kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga bagi perairan Terengganu.
“Pertembungan antara kejadian angin kencang serta laut bergelora dengan fenomena air pasang menyebabkan risiko berlakunya limpahan air laut di pesisir pantai yang boleh mengakibatkan kejadian hakisan serta banjir.
“Namun, masih ramai yang ingkar dan ada yang membawa anak kecil sedangkan tahu risiko berlakunya kejadian tidak diingini menyebabkan bomba terpaksa bertindak tegas dengan menyuruh mereka segera beredar,” katanya selepas menyertai bacaan Yaasin dan solat hajat anjuran Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di surau JBPM Terengganu di sini. – UTUSAN