PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak permohonan penganjuran himpunan solidariti yang dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman, Isnin depan ekoran dokumen yang dikemukakan tidak lengkap.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima permohonan daripada penganjur pada 31 Disember lalu, namun selepas penelitian dibuat, didapati ia tidak memenuhi keperluan ditetapkan mengikut undang-undang.
“Pemakluman penolakan permohonan telah disampaikan kepada pihak penganjur pada kelmarin (3 Januari).
“Oleh itu, penganjuran himpunan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, walaupun permohonan ditolak, PDRM tetap membuat persiapan bagi memastikan keselamatan awam terjamin, dengan seramai 456 pegawai dan anggota akan dikerahkan bagi memantau keadaan di sekitar lokasi berkenaan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menggesa orang ramai agar tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu pengampunan.
Tindakan sedemikian disifatkan bertentangan dengan undang-undang dan tidak menghormati proses rasmi sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN