Tiba masa Mak Iti bimbing Umairah - Utusan Malaysia

Tiba masa Mak Iti bimbing Umairah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menginjak tangga usia 14 tahun pada 1 Januari lalu, siapa sangka, ia merupakan angka bertuah buat Ummi Umairah apabila hajat besarnya untuk mendapat bimbingan secara profesional dengan ibu saudaranya sendiri, Datuk Seri Siti Nurhaliza, akhirnya terbukti bukan sekadar satu angan-angan.

Sudi memberi ‘restu’ itu, Siti yang juga menggalas gelaran Biduanita tanah air, mengotakan impian Umairah terutama selepas anak kepada adiknya, Siti Saerah itu, benar-benar memperlihatkan kesungguhannya untuk berada dalam industri seni sebagai penyanyi.

Kini bergelar artis naungan SN Legacy Sdn Bhd, Siti mengakui ada sebab mengapa baharu kini keputusan itu dibuat meskipun sedar, ramai pihak telah bertanyakan hal itu sejak dari awal Umairah memperlihatkan bakatnya dalam bidang seni.

“Benar, saya lihat Umai (panggilan buat Umairah) merupakan seorang daripada ahli keluarga yang berkebolehan menjadi penyambung legasi seni. Tetapi saya tak nak ‘ikat’ dia awal sebab mahu lihat Umai berusaha tunjukkan kebolehan dan kemampuannya dalam bidang nyanyian ini.

“Setelah Umai meraih kejayaan di World Championship of Performing Arts 2024 (WCOPA) dan lihat dia sangat aktif dalam pelbagai acara kesenian, saya rasa kini sudah tiba masanya untuk dia dibimbing secara profesional oleh saya bersama pengurus, Rozi Abdul Razak.

“Bagi saya, penting juga untuk Umai mencari pengalaman sendiri. Macam saya dululah, menyanyi di majlis orang kahwin, di acara ‘fun fair’, pendek kata mana-mana tempat orang panggil menyanyi, saya pergi untuk dapatkan pengalaman itu,”katanya.

Kongsi penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini lagi, dia juga yakin dengan berbekalkan pengalaman sepanjang tiga dekad sehingga mampu mempunyai empayar nama yang ampuh kini, ia dapat menjadi satu kelebihan buat Umairah dalam usaha menimba ilmu dan pengalaman di bawah bimbingannya.

“Saya sudah lalui zaman 90-an, 2000 sampailah sekarang berada dalam dunia seni ini. Berikutan itu saya lihat perlu untuk saya bimbing Umairah dengan cara lebih baik dan profesional.

“Tetapi itu tidak bermaksud saya tidak benarkan ibu, ayah dan walidnya menguruskan kerjaya seninya juga. Mereka akan tetap bersama dan memantau perjalanan Umairah. Bagi saya, keluarga perlu ada bersama-sama, macam saya juga dulu.

“Namun untuk urusan lebih profesional atau melibatkan hal yang memerlukan hitam putih, surat-menyurat, SN Legacy akan kendalikan. Sekurang-kurangnya, kerja seni yang melibatkan Umairah lebih tersusun dan profesional,”katanya.

Pada masa yang sama, Siti juga tidak menolak bahawa keputusan meletakkan Umairah di bawah SN Legacy juga sebagai satu usaha mengelak anak saudaranya itu terdedah kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dari sudut kewangan dan sebagainya.

“Saya tidaklah kata dia sudah pernah terkena ‘scam’ atau perkara yang sedemikian sebelum ini. Tetapi kita buat begini juga supaya dia tidak terjebak dengan perkara seperti itu. Satu lagi, saya juga akan menekankan aspek akademik buat Umai kerana perjalanannya masih lagi jauh.

“Alhamdulillah, Umai kini sedang belajar di sebuah sekolah seni di ibu negara dan boleh dikatakan dia seorang pelajar cemerlang. Sebelum ini, sewaktu dia bergelar pelajar di sekolah Cina, Umai juga menunjukkan keputusan yang cemerlang.

“Sebab itu, saya nasihatkan dia supaya jangan tinggalkan akademik meskipun hati berkobar-kobar mahu jadi anak seni,”ujarnya.

Berbangga dengan pencapaian anak saudaranya itu setakat ini, Siti juga tidak menolak Umairah perlu mempunyai hati yang cekal memandangkan menggalas tugas sebagai anak seni itu bukan mudah.

Ini kerana, kehidupan anak seni itu bukan soal glamor atau mencipta populariti, tetapi hakikat sebenarnya jauh lebih berat dan Umairah perlu mempersiapkan diri.

“Dia kena belajar beberapa perkara lain seperti ilmu dalam persembahan. Dia kena belajar lagi untuk jadi seorang anak seni yang berhati cekal, kena sentiasa berfikir banyak kali sebelum buat apa-apa keputusan termasuk melontarkan komen.

“Tetapi saya yakin, Umai alan melalui prosesnya sendiri dan Insya-Allah, dengan bimbingan saya dan Kak Rozi termasuk orang sekelilingnya, Umai akan lebih faham dan boleh melalui cabaran anak seni ini dengan bijaksana,”katanya.

Mengikat kontrak selama lima tahun di bawah SN Legacy, Umai sementara itu berharap peluang diberikan mampu membentuk dirinya menjadi anak seni lebih berjaya.

“Saya bersyukur kerana dapat peluang bernaung di bawah SN Legacy Sdn Bhd dan dibawah bimbingan Mak Iti (panggilan buat Siti). Ini adalah detik bermakna dan terindah dalam hidup saya.

“Saya akan gunakan peluang ini dgn baik untuk majukan diri dan jadi artis lebih berjaya.

“Saya mengharapkan doa daripada semua untuk mengharungi industri muzik dengan cekal dan mengarumkan nama negara serta keluarga,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya