KULAI: Penemuan mayat seorang wanita warga asing yang terbaring memeluk bayi baru dilahirkannya di Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit dekat sini pagi semalam tiada unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, punca kematian adalah disebabkan komplikasi kelahiran berdasarkan penemuan bayi lelaki yang masih bertali pusat berhampiran mayat tersebut.
“Pada pukul 8.15 pagi, Balai Polis Kelapa Sawit telah menerima laporan daripada orang awam terlihat satu jasad wanita terbaring bersama seorang bayi yang masih bertali pusat.
“Pasukan perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan kematian kedua-dua mangsa.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati merupakan seorang wanita warga asing dan tiada kecederaan luaran pada anggota badan yang boleh dikaitkan dengan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta tampil memberi maklumat di balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R. Arun menerusi talian 013-3332385.-UTUSAN