KLANG: Kerajaan mungkin tidak lagi akan memberikan kemudahan tol percuma bagi musim perayaan dan menyatakan 2024 adalah tahun terakhir pemberian tersebut.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ketetapan itu dibuat menerusi Kabinet pada tahun lalu.
Menurutnya, ini kerana pemberian tersebut tidak bertepatan dengan dasar pemberian subsidi kepada golongan bersasar seperti yang sedang dilaksanakan ketika ini oleh kerajaan, namun tidak menolak sekiranya terdapat perbincangan lain.
“Akan kita umum dalam masa terdekat, tetapi tahun lepas selepas kita putuskan (tahun akhir tol percuma) semua sepatutnya sedia maklum kerajaan tetapkan pada 2024 adalah yang terakhir tol percuma pada musim perayaan.
“Jadi, kalau ikut keputusan itu tiada, kalau ada mungkin itu ada pertimbangan lain. (Pertimbangan dengan pemegang konsesi?) Itu nanti kita akan bincang. Kerajaan dalam Kabinet pada 2024 adalah yang terakhir untuk tol percuma pada musim perayaan,” jelasnya.
Pada tahun lalu, kerajaan memberikan tol percuma di semua lebuh raya di seluruh negara sebanyak empat kali iaitu pada Tahun Baharu Cina (8 dan 9 Februari) dan Hari Raya Aidilfitri (8 dan 9 April).
Kemudahan itu turut diberikan ketika sambutan perayaan Deepavali dan Hari Krismas masing-masing pada 29 dan 30 Oktober serta 23 dan 24 Disember. – UTUSAN