KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah melakukan sebarang perbincangan rasmi untuk mempelawa Parti Warisan menyertai gabungan berkenaan.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, cadangan mengajak Warisan menyertai GRS hanya sekadar pandangan peribadi pemimpin tertentu dan ia tidak menggambarkan pendirian rasmi GRS.
Beliau berkata, biarpun GRS mengalu-alukan cadangan menggabungkan parti-parti tempatan demi manfaat rakyat Sabah namun, masih ada proses yang perlu diikuti. Perkara itu belum pernah dibincangkan atau diputuskan secara rasmi di peringkat parti mahupun gabungan.
“Pandangan yang dikemukakan oleh sesetengah individu itu tidak pernah dibawa untuk perbincangan dalam GRS mahupun kepimpinan PBS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang menyatakan beliau terbuka dengan kerjasama antara GRS dan Warisan.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan PBS berkata, beliau menghargai usaha untuk memperkukuh kerangka politik di Sabah namun beliau menyarankan penyokong dan orang ramai tidak membuat kesimpulan berdasarkan pandangan peribadi sesetengah pemimpin.
Cadangan mempelawa Warisan menyertai GRS itu timbul selepas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan bahawa GRS telah menolak cadangan untuk menggabungkan parti-parti tempatan di Sabah.
Semalam, Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut telah mencadangkan agar Warisan mengemukakan permohonan rasmi agar permohonan itu boleh dibincangkan dan diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi GRS. – UTUSAN