PETALING JAYA: Polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan berkaitan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengenai pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada kertas siasatan dibuka kerana pihaknya masih belum menerima laporan polis berkaitan isu itu.
“Setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan kebocoran maklumat itu jadi tiada siasatan dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sebuah portal berita tempatan semalam melaporkan pemilik akaun Facebook, Lim Sian See, mempersoalkan siapa yang bertanggungjawab membocorkan minit mesyuarat lembaga pengampunan pada 29 Januari tahun lalu di media sosial.
Dia mendakwa ini adalah percubaan untuk menunjukkan bahawa tiada perbincangan tentang meletakkan Najib di bawah tahanan rumah.
“Jika dokumen itu sah, beberapa kesimpulan boleh dibuat,” katanya.
“Antaranya adalah bahawa Yang di-Pertuan Agong telah mencadangkan pengampunan penuh, dan bahawa ini telah ditolak oleh peguam negara ketika itu (Ahmad Terrirudin Salleh),” katanya di laman sosial Facebooknya.
Najib sebelum ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkannya menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.- UTUSAN