Tiada laporan buli siber, gangguan seksual pelajar sekolah di Melaka - Exco

Tiada laporan buli siber, gangguan seksual pelajar sekolah di Melaka – Exco

KALSOM bergambar dengan murid-murid sempena Program Kembali Ke Sekolah: Kekal Selamat Di Dunia Siber di SK Peringgit, Melaka. - AMRAN MULUP/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan kejadian buli siber dalam talian terhadap pelajar sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, kejadian itu mungkin berlaku namun ia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, buli siber kini menjadi isu nasional yang merunsingkan ibu bapa dan pemimpin masyarakat kerana ia merupakan fenomena semakin menakutkan.

Beliau berkata, masyarakat tidak boleh menidakkan perkara itu yang sebenarnya berlaku tetapi tidak dilaporkan secara menyeluruh.

Katanya, program yang diadakan bertujuan memperkasa ilmu melayari dunia siber dengan selamat dan mengurangkan risiko ancaman serta memupuk amalan penggunaan internet yang bertanggungjawab.

“Di Melaka setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan berhubungan kejadian tersebut. Mungkin ada berlaku tetapi ibu bapa tidak melaporkan kepada pihak berwajib.

“Kita lihat 80 peratus kanak-kanak sekolah memiliki telefon bimbit dan mereka amat terdedah kepada dunia alam siber tanpa sempadan dan golongan ini amat terdedah serta mudah terpengaruh.

“Justeru saya minta ibu bapa lebih cakna, memantau anak-anak kerana bahaya besar menanti alam siber ini,” katanya selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah: Kekal Selamat Di Dunia Siber di Sekolah Kebangsaan (SK) Peringgit di sini, hari ini.

Seramai 400 murid menyertai program anjuran pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lendu, Alor Gajah.

Kalsom berkata, program tersebut penting buat murid-murid berikutan pendedahan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bahawa kanak-kanak di 30 negara berdepan masalah buli siber sehingga satu daripada lima orang, ponteng sekolah.

Selain itu katanya, kajian agensi Melwater pada 2023 mendapati golongan muda secara purata menghabiskan masa selama dua jam 47 minit setiap hari melayari internet, melebihi purata global dua jam 31 minit.

“Berdasarkan laporan tersebut, saya telah meminta pihak penganjur yang pada mulanya ingin menganjurkan Program Kembali Ke Sekolah, menyelitkan bahaya besar menanti kanak-kanak di alam siber,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya