Tiada kes hMPV dilaporkan di Melaka

Tiada kes hMPV dilaporkan di Melaka

NGWE Hee Sem ditemui selepas melakukan lawatan di Klinik Desa Kuala Linggi, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tiada sebarang laporan berkaitan penularan Human Metapneumovirus (hMPV) yang kini merebak di China, dikesan di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pemantauan rapi yang dilakukan di Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin mengesahkan tiada kes berkaitan virus itu direkodkan setakat ini.

Katanya, setiap pesakit yang ditempatkan di wad-wad di semua hospital di negeri akan diambil sampel bagi mengesan kemungkinan dijangkiti HMPV.

“Saya minta orang ramai yang ingin mendapat rawatan sama ada di Hospital Melaka, Alor Gajah dan Jasin adalah wajar mereka memakai pelitup muka.

“Virus ini juga seperti Covid-19 dan penularan penyakit influenza, namun setakat ini di Melaka tiada jangkitan dilaporkan. Namun begitu orang ramai diingatkan agar kekal tenang, berwaspada dan mengambil langkah pencegahan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, Klinik Desa Ayer Molek dan Klinik Desa Kuala Linggi di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, tiada kes positif terbaharu direkodkan di Malaysia berkaitan hMPV iaitu salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jangkitan itu bukan penyakit baharu dan tidak wajib dinotifikasikan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mengulas berkenaan langkah keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai, Hee Sem berkata, setakat ini kerajaan negeri belum mendapat arahan tertentu daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jika kita diarahkan oleh KKM untuk mempertingkatkan pemantauan di ICQ kita akan laksanakan dengan segera,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya