KUALA TERENGGANU : Nasib malang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental yang tular kerana dibelasah di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, dekat sini, baru-baru ini mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Keluarga lelaki itu dikunjungi Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin di Kuala Ibai, di sini hari ini.
Melalui panggilan video yang dibuat bersama isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, di kediaman itu, Ahmad Zahid menasihatkannya supaya terus tabah dalam berdepan ujian tersebut.
“Saya telah melihat video tular tersebut dan sangat bersimpati dengan apa yang berlaku. Saya harap dia cepat sihat dan apabila keluar (dari hospital) nanti, keluarga terus menjaganya dengan baik terutama ketika situasinya tidak stabil,” katanya dalam panggilan video tersebut.
Sementara itu, Faridah berkata, dia tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini dan akan meneruskan tindakan saman terhadap semua pelaku yang terlibat memukul suaminya, Ahmad Al Faizan Jusoh, 47 dalam insiden itu.
Katanya, setakat ini tiada mana-mana pihak yang tampil membuat permohonan maaf terhadap keluarganya.
“Sukar untuk saya maafkan semua pelaku kerana bertindak di luar batas kemanusiaan sedangkan suami saya berkali-kali minta maaf. Mereka tahu suami saya OKU kategori mental namun tetap memukul tanpa belas kasihan dan sehingga kini kami sekeluarga trauma, sukar nak lelapkan mata selepas kejadian,” katanya. – UTUSAN