Tiada bukti kukuh soalan SPM bocor - Fadhlina

Tiada bukti kukuh soalan SPM bocor – Fadhlina

Fadhlina Sidek ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan berlaku kebocoran soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti ditularkan baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, SPM merupakan peperiksaan berimpak tinggi dan sebarang dakwaan kebocoran soalan perlu disiasat serta-merta.

“SPM ini adalah peperiksaan berimpak tinggi. Jadi soal keselamatan, soal kerahasiaannya memang sangat dijaga.

“Jadi apa sahaja dakwaan berkaitan dengan bocor (kertas SPM) ini kita ambil secara serius dan mesti ditangani segera,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Cek Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular di pelbagai platform media sosial mengenai pelajar berkongsi soalan dan jawapan Kertas 1 dan Kertas 2 mata pelajaran Sejarah beberapa hari sebelum diduduki calon.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM sudah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan integriti kertas peperiksaan SPM terjamin, sekali gus tidak menjejaskan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan tersebut.

“Kita tidak mahu anak-anak terjejas dengan berita-berita atau khabar angin (kebocoran soalan) sebegini.

“Jadi saya tegaskan sehingga setakat ini kita telah mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk memastikan soal integriti kertas peperiksaan SPM,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, data berkenaan ketidakhadiran pelajar ke SPM masih tidak boleh dirumuskan.

Jelasnya, jumlah keseluruhan pelajar yang tidak hadir hanya boleh ditentukan selepas tamat peperiksaan itu pada 6 Februari.

“Peperiksaan SPM masih berlangsung hingga 6 Februari, jadi jumlah sebenar calon yang tidak hadir akan hanya dapat disahkan selepas tarikh tersebut.

“Kami sedang mengumpul data untuk memastikan tindakan sesuai diambil bagi menangani isu ini,” katanya.

Katanya, ibu bapa memainkan peranan aktif memastikan kehadiran anak-anak mereka ke peperiksaan, memandangkan SPM adalah peperiksaan terakhir mereka di peringkat sekolah.

“Jadi kita minta ibu bapa juga sama-sama dengan kita untuk memastikan bahawa isu kehadiran ini dapat ditangani secara bersama.

“KPM sedang menjalankan pelbagai usaha untuk menyelesaikan isu kehadiran dan memastikan kelancaran peperiksaan SPM bagi semua calon,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya