KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Alyph bakal melancarkan album keramatnya, The Storm secara rasmi pada 24 Januari ini.
Album yang memuatkan 12 lagu ini juga menerima sentuhan sepenuhnya daripada Alyph hasil dari refleksi dirinya tentang masa lalu, sekarang, dan masa depan.
“Judul The Storm tercetus dalam kepala saya secara rawak pada satu hari sewaktu saya tidak pecah otak memikirkannya. Ia hadir lebih semula jadi dan paling tepat mewakili muzik saya.
“Kita tidak mampu menduga ribut yang melanda membawa apa, bila akan surut, dan apa yang berlaku dalam setiap lapisan berbeza di langit. Cuma yang kita pasti, banyak hal terpendam perlu dilepaskan,” katanya.
Menurut Alyph, semua lagu yang dihasilkan menerusi album tersebut juga merupakan luahannya dari kisah benar tentang kehidupan yang terinspirasi daripada hasil didikan ibunya.
“Semua lagu dihasilkan daripada kisah benar dan dicampur aduk dengan pelbagai cerita betul lain bagi mencipta pengalaman baharu yang sesuai untuk beraneka emosi. Album ini adalah sudut pandang masa lalu, sekarang, dan masa hadapan.
“Ia meleraikan kisah menempuh kedewasaan yang saya pelajari daripada ibu saya. Sebahagian besarnya berputar dalam aspek kemegahan diri, kasih sayang, dan penderitaan,” jelasnya.
Dalam masa sama, bekas anggota kumpulan Sleeq itu menyifatkan The Storm adalah refleksi terhadap evolusi dirinya sebagai penglipur lara.
Tambah Alyph, karyanya dicipta dari sudut peribadi dan mampu dihayati pendengar baik secara peribadi mahupun kolektif.
“Album ini mengetengahkan subjek yang kurang diteroka di rantau ini. Bagaimanapun, semangat
untuk pecah tembok baharu menjadi tema konsisten dalam hasil kerja saya.
“Secara terperinci, Ingat dan Gerak tidak dinafikan paling mencabar untuk dilunaskan kerana perlu hidupkan kisah peribadi yang sangat mendalam. Menyanyikan karya sebegitu menuntut pertarungan emosi berbeza.
“Kerisauan saya lebih terasa setiap kali di pentas menyanyikan kisah peribadi. Sepertinya hidup saya dirungkai secara terbuka dan harus tangani lagu bersifat peribadi itu sebaiknya depan penonton,” katanya.
Sementara itu, Alyph menyifatkan proses untuk menyempurnakan album tersebut menjadi lebih mudah apabila dia mencipta lagu berdasarkan kemahuan dirinya dan pendengar.
“Sebelum ini, kesulitan utama saya alami adalah terlalu memikirkan keperluan artis lain apabila hasilkan lagu untuk mereka. Apabila tahu fokus diri dan pendengar, proses itu jadi lebih mudah,” jelasnya.
Lebih menarik lagi, Alyph turut bergandingan dengan penyanyi ikonik Ziana Zain menerusi lagu Gerak dan Teman sekali gus merealisasikan impiannya untuk bekerjasama dengan penghibur lagenda yang disanjungi itu.
Malah, album tersebut turut menampilkan GARD, seorang bakat muda yang cukup dikenali oleh peminat hip-hop tempatan yang juga sedang meningkat naik.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini termasuklah Red Flags, Saham Naik, Birthday Girl, The Line, Bestfriend Part 2, Mekar, Dari Jauh, Siapa Yang Ajar? dan Sorok Muka (feat Gard) selain Ingat, Gerak serta Teman.-UTUSAN