LANGKAWI: Thailand dan Brunei meyakini kemampuan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 termasuk menyelesaikan isu di Myanmar yang masih berlarutan sehingga hari ini.
Keyakinan itu disuarakan Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa dan Menteri Luar Brunei Darussalam, Datuk Seri Erywan Mohd. Yusof dalam pertemuan berasingan bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pertemuan tertutup di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) itu diadakan sempena Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang membuka tirainya di sini, hari ini.
Dalam pertemuan bersama Maris, Thailand menyatakan keyakinan dan sokongan penuh kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mengekalkan kestabilan serta keamanan di rantau ini.
Kedua-dua menteri bersetuju bahawa isu di Myanmar perlu diselesaikan dengan segera melalui pendekatan kesatuan dan berpusat dalam kalangan negara ASEAN lain.
Kedua-dua wakil kerajaan masing-masing turut membincangkan keperluan kepada inisiatif bagi menggerakkan ASEAN ke arah yang lebih berorientasikan hasil terutama dalam bidang pelancongan melalui pendekatan ‘Enam Negara, Satu Destinasi’.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam sektor inovasi, tenaga, pendidikan, keselamatan makanan, logistik, telekomunikasi, pelancongan, dan kesihatan.
Sementara itu, Erywan menegaskan, persetujuan ‘Five-Point Consensus’ yang dimetrai pada 2021 perlu dijadikan sebagai rangka kerja bagi menyelesaikan isu di Myanmar.
Pada masa sama, kegiatan perdagangan dalam kalangan negara ASEAN perlu dipertingkat melalui pendekatan menggalakkan penglibatan sektor swasta yang lebih besar.
Malaysia-Brunei turut berbincang mengenai usaha pengukuhan kerjasama dua hala dalam perdagangan, pelaburan, hubungan rakyat dan pelancongan. – UTUSAN