PETALING JAYA: Keputusan Pas untuk meneruskan perhimpunan solidariti bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok disifatkan sebagai strategi politik licik ala ‘Squid Game’ dengan matlamat merebut kuasa tanpa mengira cara atau implikasinya.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan Pas itu tidak bertanggungjawab, tidak berprinsip hipokrit dan oportunis.
Beliau menegaskan, keputusan itu dibuat meskipun terdapat titah daripada Istana Negara yang menekankan prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta amaran jelas daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain agar orang ramai tidak menghadiri perhimpunan tersebut.
“Hanya seorang penuntut ‘Squid Game’ berani untuk mengingkari dan menentang Titah Diraja dan diikuti dengan amaran daripada polis.
“Rakyat Malaysia dapat melihat sendiri bagaimana Pas sanggup menggugat kesejahteraan sosiopolitik dan ekonomi negara dengan menghapuskan semua lawan politik dengan cara yang tidak jujur, termasuk sekutu politik mereka Bersatu yang tidak melibatkan diri dengan perhimpunan itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tetap meneruskan himpunan tersebut dengan ia hanya bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang manipulasi.
Malah katanya, himpunan itu juga hanya kehadiran secara aman rakyat dalam menyokong semua usaha bekas Perdana Menteri itu mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama.
Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Hussien Syed Abdullah meminta Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari tidak menyamakan parti itu dengan Pas yang terlalu dahagakan simpati politik hingga sanggup menghasut agar rakyat tidak ada rasa hormat pada institusi diraja dan negara ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota turut meminta Ahmad Fadhli memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur penghinaan terhadap institusi diraja apabila menghantar kata-kata kiasan membabitkan haiwan seperti ayam dan biawak di Facebook miliknya.
Beliau mempersoalkan adakah biawak yang dimaksudkan oleh Ahmad Fadhli itu adalah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atau Polis Diraja Malaysia (PDRM),
“Maka, saya ingin bertanyakan kepada Fadhli berkenaan kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, adakah ia betul atau tidak. Jika berbau penghinaan, satu laporan polis akan saya lakukan jika kenyataan tidak dikeluarkan,” katanya semalam. – UTUSAN