Teruja sambut cahaya mata pada 1 Januari

Teruja sambut cahaya mata pada 1 Januari

MOHAMMED FAZURUL Rahman mendukung bayi lelakinya yang lahir pada 1 Januari sambil diperhatikan Dr. S. Deepa di samping isterinya, Nur Atila Abd. Rahman di Hospital Pakar KPJ Puteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sambutan tahun baharu 2025 lebih bermakna bagi pasangan Mohammed Fazurul Rahman, 30, dan Nur Atila Abd. Rahman, 29, apabila turut menyambut kelahiran anak sulung mereka, hari ini.

Mereka memilih tarikh istimewa tersebut setelah mendapat nasihat daripada Doktor Pakar Sakit Puan dan Perbidanan Hospital Pakar KPJ Puteri, Dr. S. Deepa.

Mohammed Fazurul yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura berkata, pada awalnya, isterinya dijadualkan bersalin pada 4 Januari.

“Namun, kerana saiz bayi agak besar doktor nasihatkan isteri bersalin lebih awal. Jadi, kami bersetuju untuk memilih tarikh 1 Januari yang menandakan kedatangan tahun baharu 2025.

“Kami berharap bayi yang diberi nama Muhd. Hayyin dan lahir pada pukul 10.10 pagi akan membesar dengan sihat, di samping memudahkan serta menyenangkan hati semua orang di sekelilingnya,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik.

Mohammed Fazurul berharap, kehadiran cahaya mata pada tarikh istimewa ini diharap akan membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka yang berkahwin pada Februari tahun lalu.

Sementara itu, Chu Chung Ng, 35, dan isterinya, Tan Ying Qi, 36, turut menyambut kehadiran cahaya mata sulung pada pukul 8.50 pagi tadi.

Chung Ng yang merupakan eksekutif pemasaran memberitahu, dia dan isterinya juga merancang untuk mendapat zuriat pada tarikh istimewa hari ini.

“Kami memilih tarikh ini agar anak kami mendapat usia penuh sebelum memulakan persekolahannya. Kami percaya perbezaan usia itu akan juga membantu tumbesaran dia kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya