Tertekan pedal minyak, warga emas 83 tahun langgar motosikal, kedai serbaneka

Tertekan pedal minyak, warga emas 83 tahun langgar motosikal, kedai serbaneka

TANGKAP layar kamera litar tertutup memaparkan Perodua Myvi yang merempuh motosikal dan kedai serbaneka di Jalan Cindai Jaya, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Gara-gara tersalah pedal, kereta dipandu wanita warga emas berusia 83 tahun merempuh motosikal di sebuah stesen minyak sebelum meluncur dan melanggar dinding kedai serbaneka di Jalan Cindai Jaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian pada 10.03 pagi menyebabkan kerosakan pada dinding kedai itu selain dua kenderaan terlibat rosak di bahagian hadapan dan belakang.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas pemandu warga emas itu selesai mengisi minyak dan secara tidak sengaja telah menekan pedal minyak menyebabkan Perodua Myvi miliknya hilang kawalan.

“Kenderaan itu melanggar motosikal Honda Vario di ruang parkir sebelum melanggar dinding kaca kedai serbaneka. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya hari ini.

Kata Wan Azharuddin, pihaknya telah merakam percakapan pemandu kenderaan dan pemilik kedai serbaneka itu bagi membantu siasatan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan. 

Terdahulu, tular dua video berdurasi 21 dan 17 saat memaparkan sebuah kereta melanggar motosikal sebelum merempuh dinding kedai serbaneka itu.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, Wan Azharuddin memaklumkan seorang penunggang motosikal wanita maut dirempuh sebuah kereta semasa berhenti di lampu isyarat Permaipura, Jalan Alor Setar-Butterworth di Bedong, malam tadi.

Kejadian ketika hujan lebat pada pukul 10.20 malam itu menyebabkan Siti Nortasha Abdullah, 30, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Katanya, mangsa yang tidak bekerja dan tinggal di Bandar Amanjaya sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau untuk membelok ke kanan sebelum tiba-tiba kereta jenis Proton Wira dari arah belakang dipandu pemuda berumur 24 tahun melanggarnya.

“Akibat rempuhan kuat itu mangsa tercampak ke hadapan dan terkena bahagian hadapan kereta jenis Honda City dipandu seorang buruh yang berada di laluan bertentangan,” katanya. 

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kecuaian pemandu Proton Wira yang gagal menjaga jarak dan berada terlalu rapat dengan motosikal mangsa menyebabkan kenderaannya tidak sempat membrek,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya