KUALA LUMPUR: Satu kebakaran kecil berlaku di panel kawalan penghawa dingin yang terletak di dalam bilik loji penghawa dingin di Stesen Transit Aliran Ringat (LRT) KLCC pada petang tadi.
Kejadian itu menyebabkan kekecohan dalam kalangan penumpang dan pekerja di kawasan tersebut.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.15 petang sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak ke lokasi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Azimin Mohamed Zahidi berkata, sebaik tiba, api sudah berjaya dipadamkan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) KLCC menggunakan alat pemadam api jenis karbon dioksida (CO2).
“Pasukan kami tiba bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan mengelakkan sebarang kemungkinan kebakaran berulang.
“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT-1) telah digerakkan. Unit siasatan kebakaran juga telah dimaklumkan untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden itu, namun keadaan di sekitar lokasi sedikit kecoh apabila penumpang dan pekerja diminta menjauhkan diri dari kawasan terjejas.
“Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur kecuaian atau masalah teknikal yang menyebabkan kebakaran tersebut,” katanya. – UTUSAN