HULU TERENGGANU: Projek perintis ternakan ikan sangkar yang dijalankan di Kampung Getang, di sini bermula tahun lalu menerusi peruntukan Skim Sejati Madani dijangka mampu mengeluarkan hasil sehingga mencecah tiga tan metrik.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Getang, Tuan Abd. Razif Tuan Ngah berkata, 3,000 benih ikan tilapia dilepaskan November lalu sebagai permulaan dan mula dijual minggu ini.
Beliau berkata, pihaknya memperoleh peruntukan RM100,000 menerusi Program Sejahtera Komuniti Madani dan hasil keuntungan projek ternakan ikan sangkar dilaksanakan itu akan dimasukkan ke Tabung Komuniti Kampung Getang.
“Projek ini diuruskan JPKKP Getang. Setakat ini, keseluruhannya sebanyak 19,000 ekor benih ikan tilapia dilepaskan secara berperingkat ke dalam lapan unit sangkar yang terletak di Sungai Terengganu.
“Peringkat perintis pelepasan November lalu sebanyak 3,000 ekor dan akan mula dijual hasilnya minggu ini. Seterusnya pada bulan Ramadan iaitu Mac ini serta Jun akan datang.
“Beberapa individu terutaman peniaga telah datang ke sangkar menempah ikan untuk keperluan atau jualan mereka sepanjang bulan puasa tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Getang, dekat sini.
Tuan Abd. Razif berkata, hasil projek ternakan ikan sangkar itu adalah sebagai pengumpulan dana untuk orang kampung bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan serta sumbangan khairat kematian.
Pihaknya turut menyasarkan hasil ternakan dapat dijual secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun selepas ini walaupun terpaksa berdepan cabaran risiko bencana banjir. – UTUSAN