BUKIT MERTAJAM : “Keadaan waktu itu senyap sunyi dan saya hanya tersedar apabila tiba-tiba sudah tertiarap di atas lantai bas”.
Itu luahan Nor Aziah Omar, 61, salah seorang penumpang yang terselamat selepas bas persiaran yang dinaikinya melanggar bahagian belakang sebuah treler dalam nahas di Kilometer (KM) 157.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Sungai Bakap di sini, pagi tadi.
Difahamkan, ketika kejadian, bas persiaran itu membawa 24 ahli kumpulan Helwa, Surau Bandar Seremban Selatan, Negeri Sembilan yang dalam perjalanan ke Kedah sempena program lawatan dua hari satu malam di sana.
Menurut Nor Aziah, ketika kejadian, dia baru sahaja terlelap sebelum dikejutkan dengan satu bunyi dentuman yang kuat.
“Impak pelanggaran itu membuatkan kebanyakan muka ahli rombongan terhentak ke bahagian tempat duduk hadapan. Namun, saya bersyukur kerana kami semua selamat, saya turut diserang asma selepas kejadian namun sudah pulih selepas diberi rawatan segera.
“Difahamkan, ada tiga ahli rombongan yang mengalami kecederaan teruk dan kini sedang menerima rawatan manakala yang lain hanya cedera ringan,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nor Azizah Arshad, 58, berkata, dia bersama ahli rombongan lain sempat mengaji al-Quran beramai-ramai sebelum terlelap.
“Kami semua tidak tidur lena pun tetapi selepas pelanggaran itu berlaku, masing-masing terpaku di tempat duduk. Saya terjatuh di atas lantai bas dan meminta tolong ahli rombongan lain untuk bantu tetapi semua senyap kerana sangat terkejut.
“Saya menyertai rombongan ini bersama tiga kakak saya dan syukurlah kami semua hanya cedera ringan sahaja, cuma kaki saya sakit dan tangan lebam-lebam sedikit. Saya sudah dibenarkan pulang manakala tiga lagi masih dalam pemantauan doktor,” katanya.
Terdahulu, 23 individu dilaporkan cedera selepas bas yang mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah treler dalam kejadian kira-kira pukul 4.16 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Chong Boo Kim yang mengesahkan kejadian tersebut memaklumkan, seramai 17 mangsa telah dirawat di HSJ dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN