Terjebak pelaburan Bitcoin, akauntan rugi hampir RM500,000

Terjebak pelaburan Bitcoin, akauntan rugi hampir RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Seorang akauntan wanita mengalami kerugian sebanyak RM460,888 gara-gara terpedaya dengan tawaran pelaburan Bitcoin yang diiklankan di laman sosial, Facebook.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa berusia 61 tahun itu mendakwa tertarik dengan iklan pelaburan Bitcoin itu yang menjanjikan pulangan yang cepat dan lumayan berdasarkan harga semasa mata wang kripto itu.

Katanya, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan pelaburan dan diberi penerangan mengenai pelaburan itu oleh beberapa individu, pada Julai tahun lalu.

“Mangsa yang hampir bersara pada penghujung Disember lalu mengambil keputusan menyertai pelaburan tersebut. Mangsa diarahkan memuat turun aplikasi untuk memantau pelaburan Bitcoin serta keuntungan yang diperoleh.

“Mangsa membuat tiga pembayaran antara 30 Disember lalu hingga 16 Januari lalu, ke dalam dua akaun bank berbeza, berjumlah keseluruhan RM460,888,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sohaimi, mangsa memaklumkan dapat melihat transaksi pelaburan dalam aplikasi itu yang menunjukkan perolehan keuntungan berjumlah RM5.5 juta.

“Apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan, dia diarahkan membayar RM550,152.35 sebagai bayaran pengurusan.

“Mangsa yang enggan membuat bayaran itu kerana mengesyaki dirinya ditipu akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam semalam,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu termasuk penglibatan ‘keldai akaun’ di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya