KUALA LUMPUR : Berjaya memperolehi Sijil Pematuhan Syariah daripada Elzar Shariah Solution and Advisory, Fourkay Sdn Bhd berusaha untuk menjadi peneraju dalam membina sebuah industri pembelian emas gadaian yang lebih telus, selamat, dan patuh syariah.
Dalam usaha mempertingkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan pembelian emas gadaian dan emas terpakai, Fourkay menekankan kepatuhan penuh terhadap prinsip syariah.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Fourkay, Puteri Ainsyah Quraisya Jamalus, Sijil Pematuhan Syariah yang diperoleh bukan sahaja memperbaharui komitmennya terhadap kewangan Islam yang telus, tetapi ia juga memberikan perlindungan yang lebih kuat kepada pelanggan dari risiko transaksi yang tidak sah atau penipuan.
“Fourkay lebih cenderung membeli emas gadaian berbanding emas terpakai kerana risiko lebih rendah dan memastikan semua transaksi adalah telus dan sah di sisi agama.
“Usaha ini bertujuan untuk melindungi pelanggan daripada risiko penipuan emas yang semakin meningkat.
“Fourkay tidak hanya memastikan bahawa setiap transaksi memenuhi piawaian syariah, tetapi juga memastikan ketelusan dengan memeriksa ketulenan emas dan mendokumentasikan setiap langkah transaksi.
“Kami memastikan setiap transaksi melalui proses ketat untuk mengelakkan penipuan emas, dengan memeriksa ketulenan dan dokumen pelanggan,”katanya.
Dalam usaha untuk meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan, Fourkay juga memberi penekanan kepada pendidikan dan kesedaran awam mengenai risiko berurusan dengan entiti yang tidak sah.
Sehingga kini, lebih 10,000 pelanggan telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat ini.
“Ramai yang masih terdedah kepada penipuan dan risiko keselamatan dalam urusan penjualan emas gadaian. Kami di Fourkay berusaha memastikan setiap pelanggan mendapat pengalaman yang selamat dan telus,” katanya.
Seiring dengan perkembangan pesat industri ini, Fourkay Sdn Bhd juga berusaha keras untuk terus memperkukuhkan keyakinan masyarakat.
“Pelanggan yang memilih untuk menjual emas gadaian atau emas terpakai dapat menjalani proses yang sah dan selamat, dengan nilai emas yang setimpal,”katanya.