PETALING JAYA: Tempoh bertugas on-call pegawai perubatan yang boleh mencecah 33 jam antara punca mereka menuntut supaya kadar elaun sekurang-kurangnya perlu menyamai gaji minimum.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, kadar elaun on-call RM9.16 sejam sekarang perlu dinaikkan di antara RM 20 hingga RM25 sejam yang kadarnya lebih munasabah.
Katanya, peningkatan itu akan membantu meningkatkan moral pegawai perubatan serta mampu mengurangkan jumlah doktor yang keluar ke sektor swasta.
“Tempoh on-call biasanya adalah 24 jam, contohnya dari 8 malam hingga 8 pagi, namun ada beberapa pegawai perubatan terpaksa bekerja lebih 9 jam lagi, hingga 5 petang yang menjadikan jumlah keseluruhan waktu bertugas mencapai 33 jam.
“Secara purata pegawai perubatan yang perlu on-call, dua kali seminggu atau enam hingga tujuh kali sebulan.
“Kerajaan juga perlu menambah bilangan doktor di klinik dan hospital kerajaan bagi mengurangkan beban kerja sedia ada serta mempercepatkan rawatan pesakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, kadar elaun on-call bulanan pegawai perubatan perlu ditetapkan menyamai gaji minimum rakyat Malaysia iaitu RM1,700 sebulan.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kadar elaun on-call RM9.16 sejam sekarang tidak lagi munasabah dengan beban kerja ditanggung pegawai perubatan masa kini, selain peningkatan kos hidup.
Katanya, secara prinsip, elaun bulanan doktor on-call yang aktif iaitu perlu berada di hospital sekurang-kurangnya setara dengan gaji minimum rakyat Malaysia.
“Di dalam sektor kesihatan kita, ada dua jenis on-call iaitu yang perlu berada di hospital (aktif) dan bersiap sedia di rumah (pasif).
“Isunya adalah elaun doktor on-call aktif yang perlu ke hospital kadarnya sekarang lebih rendah daripada gaji minimum. Ini tidak munasabah dan perlu dikaji semula,” katanya.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh pula berkata, cadangan penambahan elaun on-call adalah sangat digalakkan untuk membendung masalah kurangnya motivasi dalam kalangan doktor yang terpaksa bertugas lebih masa.
Beliau berkata, kenaikan ini juga mampu menangani isu kekurangan doktor yang semakin membimbangkan di hospital-hospital kerajaan.
“Kekurangan pegawai perubatan di hospital menyebabkan rotasi on-call sentiasa berlaku dengan pantas, yang memberi tekanan tambahan kepada doktor
“Harga elaun on-call doktor di Malaysia dianggap agak rendah dan jauh ketinggalan berbanding negara maju.
“Dengan kenaikan elaun on-call ini, ia diharapkan dapat mengurangkan masalah burnout di kalangan pegawai perubatan. Kita juga berharap dapat memberikan insentif yang lebih baik untuk mendorong mereka berkhidmat di sektor kerajaan,” katanya. – UTUSAN