Telaga tiub sumbangan Tabung Amanah Sultan Kedah atasi masalah bekalan air bersih di Jeneri

Telaga tiub sumbangan Tabung Amanah Sultan Kedah atasi masalah bekalan air bersih di Jeneri

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin (tengah) melihat bekalan air daripada pili selepas pembinaan telaga tiub di Kampung Pondok Ampang, Jeneri di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Lebih 1,000 penduduk Kampung Pondok Ampang termasuk pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Irsyadiah di Jeneri yang berdepan masalah gangguan bekalan air sejak sekian lama kini menarik nafas lega selepas projek telaga tiub siap dibina di kawasan itu.

Telaga tiub berkenaan disumbangkan oleh Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) dengan peruntukkan berjumlah RM46,500.

Raja Muda Kedah merangkap Pengerusi TASK, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, projek itu bertujuan untuk menangani keperluan mendesak bekalan air yang mencukupi untuk pelajar-pelajar di sekolah itu dan penduduk sekitar.

 
Titah Tengku Sarafudin Badlishah, projek tersebut menggunakan air bawah tanah untuk meningkatkan bekalan air dan kualiti hidup masyarakat.
 

“Kita dapati di kawasan ini mengalami masalah bekalan air bersih yang tidak konsisten dan menjejaskan kehidupan harian penduduk dan pelajar terutamanya yang tinggal di asrama.

“Bekalan air adalah satu keperluan harian yang mesti ada. Jadi Tabung Amanah Sultan Kedah bantu dengan buat pam ni supaya semua boleh dapat air yang konsisten”, titah baginda selepas merasmikan Projek Telaga Tiub berkenaan di SMA Irsyadiah di sini.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, Sik adalah daerah pertama bagi pelaksanaan program sulung TASK pada tahun ini di bawah skop kebajikan dengan kerjasama Kesatuan Penghulu / Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah selepas membina telaga tiub di Sungai Kob, Kulim.

Sementara itu, penduduk, Siti Eshah Che Hamad, 42, berkata, mereka telah menggunakan air telaga sejak lebih 30 tahun lalu kerana bekalan air bersih daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak begitu konsisten.

“Air dari SADA kadang-kadang tersangkut, jadi kami menggunakan air telaga yang dipam dengan menggunakan elektrik untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian seperti masak, minum, membasuh, mandi dan sebagainya.

“Apabila ada telaga tiub yang dibina berhampiran rumah, kami lega kerana masalah air dapat diatasi terutamanya ketika musim kemarau dan penggunaan bekalan elektrik di rumah boleh dikurangkan,” katanya.

Pelajar SMA Irsyadiah, Amar Azmyzal, 17, yang tinggal di asrama berkata, dia gembira dan bersyukur kerana telaga tiub dibina di dalam kawasan asrama dan masalah tiada bekalan air bersih dapat diatasi.

“Sebelum ini keadaan kami di asrama agak bermasalah dan tidak begitu selesa kerana gangguan bekalan air bersih, tetapi apabila ada telaga tiub ini masalah ini selesai dan kami dapat memberikan tumpuan yang lebih untuk belajar.

“Terima kasih kepada TASK yang telah berusaha membina telaga tiub ini yang bukan sahaja untuk kegunaan para pelajar malah penduduk sekitarnya juga akan mendapat manfaatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya