Tekun berjaya perbaiki kadar kutipan pinjaman - Utusan Malaysia

Tekun berjaya perbaiki kadar kutipan pinjaman

EWON Benedick bersama penerima Skim Pembiayaan Tekun Nasional pada perasmian Pejabat Tekun Cawangan Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional berjaya memperbaiki kutipan hutangnya apabila kadar peratus pinjaman tidak berbayarnya (NPL) dapat diturunkan kepada angka satu digit.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kadar NPL itu kini berada sekitar sembilan peratus berbanding sebelum ini melebihi 10 peratus.

Jelasnya, kejayaan itu adalah hasil usaha Tekun membina persefahaman dengan para peminjam atau usahawan untuk membayar semula pinjaman masing-masing.

“Kita katakan kepada mereka (peminjam) bahawa, kutipan semula itulah yang dapat memastikan kita boleh menyalurkan pembiayaan kepada usahawan-usahawan baharu. Maka mereka faham,” katanya semasa majlis pembukaan semula pejabat Tekun cawangan Sungai Siput di sini hari ini.

Dilaporkan sehingga tahun 2017, NPL Tekun berada paras 37.82 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman bernilai RM5.14 bilion sebelum berjaya diturunkan kepada 12 peratus pada tahun 2023.

Tekun dilaporkan mencatat kutipan bayaran tertinggi dalam sejarah penubuhannya sebanyak RM1.15 bilion pada tahun 2024, sekali gus merupakan tahun kedua melepasi RM1 bilion setelah RM1.05 bilion dipungut pada tahun 2023.

Sejak diwujudkan pada 1998 sehingga Disember 2024, agensi pinjaman mikro tersebut telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 593,605 orang usahawan yang bernilai RM10.07 billion di seluruh negara.

Kata Ewon, pengurusan Tekun sentiasa turun ke lapangan untuk bercakap soal kepentingan membayar pinjaman mengikut jadual.

Beliau turut menyambut baik pembukaan semula pejabat Tekun cawangan Sungai Siput kerana ia memudahkan para usahawan dan peniaga kecil di luar bandar mendapat akses kewangan.

Katanya, enam pejabat Tekun iaitu empat di Semenanjung Malaysia dan satu masing-masing di Sabah dan Sarawak akan dilengkapi studio rakaman untuk membolehkan para usahawan di bawah agensi tersebut mempromosi dan memasarkan produk.

Katanya, kerjasama tersebut dibuat bersama pengendali platform media sosial TikTok dan cawangan pertama yang akan memulakan kemudahan itu ialah di Penampang, Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya