Taylor’s University lancar program Sains Kesihatan Gunaan

Taylor’s University lancar program Sains Kesihatan Gunaan

LEE (tiga,kiri) ketika sesi perbincangan panel pada Pelancaran Program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan di Taylor’s Lakeside Campus - SADDAM YUSOFF/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Taylor’s University melancarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan yang bertujuan mempersiap graduan mengatasi cabaran kesihatan di negara ini.

Program tersebut bakal menerima kemasukan pertama pelajar pada April 2025 dan pengambilan seterusnya pada April dan September seterusnya, setiap tahun.

Pengarah Program Sarjana Muda Sains Kesihatan Gunaan, Taylor’s University, Dr. Lee Sau Har berkata, pelancaran ini selaras dengan perkembangan sektor penjagaan kesihatan Malaysia yang berkembang pada kadar tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 13.5 peratus, mencecah AS$48.41 bilion menjelang 2028.

Katanya, program sarjana muda tiga tahun ini ditawarkan bawah Pusat Pengajian Biosains dengan kurikulumnya direka bagi melengkapkan kepakaran praktikal dan keupayaan penyelidikan dalam landskap kesihatan dinamik Malaysia.

“Program ini istimewa kerana terdiri daripada empat bidang pengkhususan yang mampu mengatasi cabaran kritikal kesihatan iaitu Genetik, Embriologi, Neurosains dan Pemakanan.

“Teknologi canggih turut diterapkan bagi mempersiap graduan termasuk Jujukan Berulang antara Ruang Palindromik Pendek Bergugus Tetap (CRISPR), Antara muka Otak-Komputer (BCI), Persenyawaan in-vitro (IVF) dan teknologi penderiaan boleh pakai,” katanya dalam sidang media Pelancaran Program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kesihatan Gunaan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Invest Selangor, Pejabat Penyelarasan Bioteknologi Selangor (S-BIOCO), Arieff Aaron Abdullah berkata, Tinjauan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendedahkan lebih dua juta orang dewasa di Malaysia menghidap tiga penyakit tidak berjangkit (NCD) utama iaitu diabetes, hipertensi, dan kolesterol tinggi.

“Situasi ini menjadikan keperluan untuk penyelesaian penjagaan kesihatan yang inovatif semakin mendesak,” katanya.

Sementara itu, pengasas AGTC Genomics, Prof. Dr. Chee Onn Leong berkata, industri penjagaan kesihatan kini sedang melalui perubahan besar yang didorong oleh kemajuan teknologi khususnya dalam bidang genomik, kecerdasan buatan (AI), dan perubatan ketepatan.

Katanya, ia bukan sahaja mengubah pendekatan terhadap diagnostik dan rawatan, tetapi menekankan keperluan tenaga kerja mahir yang mampu memanfaatkan teknologi tersebut bagi menangani cabaran kompleks kesihatan serta meningkatkan hasil rawatan pesakit.

“Program diselaraskan dengan dasar-dasar utama seperti Kertas Putih Kesihatan Malaysia dan Polisi Kebangsaan bagi Kualiti dalam Penjagaan Kesihatan 2022-2026.

“Inisiatif ini juga bertujuan melengkapkan graduan dengan kemahiran untuk menyumbang kepada kelestarian penjagaan kesihatan, pencegahan penyakit serta inovasi dalam polisi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya