Tayar botak kesalahan paling banyak dikesan JPJ Perak - Utusan Malaysia

Tayar botak kesalahan paling banyak dikesan JPJ Perak

MOHAMMAD Yusoff Abustan menunjukkan iklan perkhidmatan menukar tayar yang ditawarkan melalui Facebook dalam Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2025 di Meru Raya di Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan sebanyak 583 notis kesalahan ke atas kenderaan perdagangan sepanjang enam hari pelaksanaan Operasi Khas Gempur Teknikal bermula 26 Disember lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 208 kenderaan yang diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dengan sebuah kenderaan pula disita.

Katanya, kesalahan terbanyak yang dikesan dalam operasi berkenaan melibatkan kesalahan teknikal termasuk ekzos dan lampu, tayar serta ubahsuai kenderaan.

“Kesalahan melibatkan penggunaan tayar botak yang boleh menjadi punca kepada kemalangan merupakan antara kesalahan teknikal yang paling banyak dikesan dalam operasi ini dengan 104 kes.

“Penggunaan semula tayar sebenarnya tidak sesuai kerana dalam tayar itu sendiri ada jaringan dawai dan apabila digunakan dalam tempoh tertentu, ia akan mengalami kerosakan dan ada yang putus.

“Jadi, tidak mustahil kalau tayar ini digunakan semula, kekuatannya sudah tidak sama seperti yang disyorkan dan ia boleh meletup atau pecah pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2025 di Meru Raya, di sini semalam.

Menurut beliau, tindakan syarikat tayar yang menawarkan perkhidmatan menukar tayar kepada pengusaha-pengusaha kenderaan berat bagi pemeriksaan Puspakom disifatkan tidak wajar dan amat dikesali.

Katanya, tindakan mengiklankan perkhidmatan itu secara terang-terangan di media sosial juga perlu dibanteras menerusi aduan oleh orang ramai agar perbuatan yang boleh menjadi punca kepada kemalangan itu dapat diatasi segera.

“Saya sendiri pernah lihat iklan perkhidmatan ini di Facebook dan dijadikan sebagai perniagaan secara terang-terangan. Bagi saya, ini tidak sesuai dan tidak boleh diteruskan. Masyarakat perlu lapor segera kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, dalam operasi sama, pihaknya turut mengesan salah laku pemilik kenderaan perdagangan dalam urusan pemeriksaan berkala di Puspakom.

“Melalui penguatkuasaan yang dijalankan, didapati ada kenderaan yang mengabaikan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di bawah Seksyen 7(2)(c) iaitu peraturan membawa kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di mana pemilik tidak mendapatkan Permit Bergerak Sementara daripada JPJ untuk membawa kenderaan ke Puspakom.

“Selain itu, kita turut mengesan kesalahan pemalsuan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor (trade plate) di mana pemilik mempamerkan dokumen palsu bagi tujuan membawa kenderaan ke Puspakom,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 271 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan terhadap 750 kenderaan dalam operasi yang dijalankan sejak pukul 8 malam tadi.

“Dalam operasi ini, sebanyak 25 kenderaan membabitkan 21 buah motosikal, tiga kereta dan sebuah kenderaan lain disita dengan dua individu didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya