IPOH: Pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa percanggahan berhubung tarikh kad memori pada kamera papan pemuka (dashcam) kereta jenis Perodua Ativa dipandu Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak diakses adalah disebabkan komputernya tidak ‘auto-update’.
Jelas saksi pendakwaan ke-33, Asisten Superintenden S. Dasarathan, 48, kad itu sebenarnya diakses olehnya pada 20 Disember 2023.
Saksi itu turut menyatakan, hanya beliau yang mempunyai akses kepada eksibit itu yang diambil daripada kereta tertuduh.
“Berkenaan isu ini, sebenarnya dashcam dan kad memori dirampas pada 20 Disember 2023 dan diserahkan kepada saya pada hari sama. Saya mengambil kad memori itu dan telah akses menggunakan komputer saya.
“Komputer saya tiada sambungan internet dan tiada ‘auto update’ terhadap tarikh dan masa pada komputer. Walaupun diakses pada 20 Disember 2023, tarikh yang ditunjukkan masih 19 Disember 2023,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di sini hari ini.
Tambah saksi itu, beliau mengakses rakaman yang terdapat dalam kad memori tersebut menerusi komputer di pejabatnya pada hari sama setelah diserahkan oleh Inspektor Jong Pit Chao.
Terdahulu, Afzainizam meminta penjelasan Dasarathan berhubung penyataan bertulisnya pada prosiding sebelum ini yang memaklumkan dapatan daripada analisa forensik mendapati kad memori pada dashcam Perodua Ativa itu pernah diakses empat hari selepas kejadian perlanggaran berlaku pada 15 Disember 2023.
Rampasan terhadap kad memori dashcam berkenaan dibuat pada 20 Disember 2023.
Sementara itu, menjawab soalan Afzainizam mengapa tiada rampasan dekoder kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Muhammad Al-Fateh dan sebuah rumah di Gerbang Meru Indah tidak diambil, Dasarathan berkata, rampasan tidak dibuat kerana peranti itu masih digunakan pemiliknya.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa tiada sebarang suntingan dibuat terhadap rakaman CCTV itu ketika membuat salinan melalui komputernya.
Selain Afzainizam, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui.
Pihak pembelaan pula dibarisi peguam-peguam bela, M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri, 46, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17.
Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet disambung pada Jumaat depan. – UTUSAN