PETALING JAYA: Kerajaan didesak menyemak semula tarif air mentah yang dibekalkan kepada Singapura sebagai langkah memperkukuhkan kedaulatan negara dan memperbaiki ekonomi.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin berkata, harga jualan air mentah kepada Singapura sebanyak tiga sen bagi setiap 1,000 gelen dan harga beli balik air terawat dengan kadar lebih tinggi adalah tidak masuk akal dalam konteks ekonomi semasa.
Kata beliau, dakwaan Singapura bahawa Malaysia sudah kehilangan hak untuk menyemak tarif pada 1987 adalah tidak benar.
“Pentafsiran Singapura bahawa semakan hanya boleh dilakukan pada tahun ke-25 adalah dangkal, tidak wajar dan hanya mementingkan kepentingan mereka sendiri.
“Sebaliknya, perjanjian air 1961 dan 1962 dengan jelas menyatakan bahawa semakan tarif boleh dibuat selepas tempoh 25 tahun, memberikan hak kepada Malaysia untuk mengkaji semula syarat perjanjian pada bila-bila masa selepas tempoh tersebut,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan tidak lagi cuba menangani masalah yang berbangkit di antara Malaysia dengan Singapura termasuklah berkaitan perjanjian air.
Katanya, kerajaan dilihat membuat perjanjian baharu yang dakwanya menguntungkan Singapura.
Mengulas lanjut, Armin Baniaz berkata, harga air mentah yang dikenakan pada ketika ini tidak lagi mencerminkan kos sebenar pengurusan sumber air.
Beliau berkata, perubahan ekonomi global termasuk kenaikan kos sara hidup, inflasi dan kadar tukaran mata wang memperkukuhkan keperluan semakan tarif tersebut.
“Tekanan terhadap sumber air di Johor juga semakin meningkat, menandakan keperluan mendesak untuk memastikan pengurusan sumber yang mampan dan berdaya tahan.
“Tarif semasa telah memberi impak negatif kepada Johor, yang terpaksa membeli air terawat daripada Singapura dengan harga yang jauh lebih tinggi,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penggunaan dana untuk membina loji rawatan air dan memastikan ia dapat dilaksanakan segera bagi mengurangkan kebergantungan kepada Singapura.
“GEM menegaskan bahawa Johor sepatutnya sudah membina loji rawatan air sendiri seperti yang telah diperuntukkan sebelum tahun 2003. Namun, projek ini tidak diteruskan tanpa alasan yang jelas,” katanya.
Tambahnya, Malaysia juga harus bersikap tegas dan konsisten dalam mendesak semakan semula tarif yang kini jelas tidak relevan lagi.
“Langkah-langkah strategik dan menyeluruh harus diambil termasuk melalui saluran diplomatik, timbang tara antarabangsa dan pembangunan infrastruktur dalaman, untuk memastikan hak negara ini dipertahankan serta kepentingan rakyat terjamin.
“GEM turut mencadangkan agar isu ini dibawa ke peringkat antarabangsa melalui mahkamah atau timbang tara jika rundingan dengan Singapura gagal mencapai penyelesaian yang adil.
“Dalam masa yang sama, GEM menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik untuk bersatu mempertahankan hak negara dan kedaulatan sumber air,” ujarnya. – UTUSAN