KEMAMAN : Seekor tapir jantan dewasa seberat kira-kira 250 kilogram ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Kilometer 289.1 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Chukai, hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan daripada kakitangan LPT2 berhubung penemuan bangkai tapir tersebut kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Tapir tersebut ditemukan mati dengan kesan kecederaan di bahagian kepala, dipercayai dilanggar kenderaan,” katanya hari ini.
Kean Seong turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati memandu bagi mengelak melanggar hidupan liar. – UTUSAN