SIK: Proses peralihan murid sekolah rendah untuk menyambung persekolahan ke peringkat menengah merupakan tumpuan utama Kementerian Pendidikan dalam menghadapi isu keciciran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam konteks itu, langkah paling penting adalah memastikan kehadiran setiap murid ke sekolah dan seterusnya melalui transisi daripada darjah enam ke tingkatan satu.
“Transisi daripada darjah enam ke tingkatan satu mesti ditangani terlebih dahulu, jadi bila proses transisi berlaku tidak ada keciciran dari darjah enam ke tingkatan satu, saya percaya ia (keciciran) akan dapat diatasi,” katanya selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Danglau, di sini.
Fadhlina berkata, enrolmen sekolah rendah ketika ini berada dalam keadaan baik iaitu kira-kira 99 peratus yang mana dasar pendidikan wajib sekolah rendah membantu mencapai angka itu.
“Sementara enrolmen sekolah menengah pada waktu ini mencapai kira-kira 93 peratus yang perlu ditingkatkan bagi mencapai enrolmen sejagat iaitu 95 peratus,” katanya.
Katanya, bagi menangani isu keciciran murid dan masalah berbangkit lain, beliau dan pengurusan tertinggi kementerian akan ke 143 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara pada tahun ini.
“Kita akan turun ke semua PPD dan sebagai contoh akan tengok apakah kesenjangan yang berlaku di daerah ini (Sik). Contohnya keciciran yang kami bincang tadi bagaimana harus dimulakan daripada aspek intervensinya.
“Tahniah kepada PPD Sik yang merupakan PPD pertama saya lawat pada tahun ini kerana telah memulakan dashboard intervensi yang cukup efektif iaitu melihat isu dan trend keciciran jauh lebih awal,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD perlu mengambil pendekatan segera dengan membantu murid memerlukan terutama daripada keluarga B40 menerusi bantuan kewangan di bawah KPM.
“Kementerian Pendidikan ada 18 bantuan kewangan untuk anak-anak B40 yang mesti disegerakan selain bantuan awal sekolah yang mana semua ibu bapa telah pun dapat. Ada 18 lagi bantuan lain yang saya fikir pendekatan PPD dan JPN mesti lihat bagaimana bantuan itu dapat membantu anak-anak daripada keciciran,” katanya.
Sementara itu, berhubung penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid, kata Fadhlina, ia memerlukan komitmen yang tinggi daripada pihak JPN dan PPD.
“Mesti ada komitmen mereka berkaitan literasi serta numerasi, jadi 3M ini adalah program khusus outreach yang berkesan. Selain itu adalah memastikan anak-anak dapat menguasai dalam tempoh kita tetapkan berdasarkan kaedah dan pendekatan lokal,” katanya. – UTUSAN