KUANTAN: Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands, dekat sini ditutup sementara berikutan kejadian tanah runtuh, Isnin lalu yang menutup laluan utama ke pusat pelancongan itu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaludin berkata, penutupan sementara itu bermula semalam sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Menurutnya, kerja penyelenggaraan, termasuk pembersihan tanah runtuh dan pembaikan cerun jalan menuju ke TER Mossy Forest serta Gunung Irau giat dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
“Pada masa ini, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menyelenggara kabel besar di kawasan tersebut, manakala Unit Kejuruteraan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pula telah memulakan kerja mereka hari ini.
“Kita jangkakan kerja pembersihan ini akan mengambil masa kira-kira dua hari,” katanya ketika dihubungi di sini.
Zainuddin juga memaklumkan, aktiviti pendakian TER Mossy Forest dan Gunung Irau tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut.
“Pelancong diminta untuk mematuhi notis yang dikeluarkan demi menjamin keselamatan mereka,” tambahnya.-UTUSAN