PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan tidak menjadi masalah sekiranya mana-mana anggota pentadbiran negara menerima hadiah selagi mana ia tidak menjejaskan integriti atau mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.
Najib ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar turut memberitahu beliau juga tidak mempunyai sebarang tanggungjawab untuk memaklumkan Jemaah Menteri berhubung derma oleh Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.
Kamal Baharin: Rujuk Kod Etika Bagi Anggota-Anggota Pentadbiran, bahagian 5, Hadiah Keraian dan Upahan. Anggota-Anggota Pentadbiran hendaklah mengelak daripada menggunakan jawatannya untuk kepentingan peribadi seperti meminta atau menerima apa-apa hadiah, upah atau kemudahan-kemudahan yang boleh menjejaskan integriti mereka.
Bersetuju dengan saya, atas dasar jawatan Perdana Menteri tidak boleh menerima apa-apa hadiah.
Najib: Yang boleh menjejaskan integriti. Saya tidak anggap itu sebagai menjejaskan integriti. Jadi tidak boleh menerima apa-apa hadiah yang boleh menjejaskan atau menyebabkan kita terpengaruh dalam membuat keputusan. Hadiah itu (kalau) tiada kena mengena dengan kuasa kita, dia tak menjadi masalah, itu fahaman saya.
Kamal Baharin: Tapi kod etika menyatakan tak boleh terima. Sumbangan hadiah juga tidak boleh.
Najib: Hadiah itu kalau tidak menjejaskan kuasa kita, kedudukan kita ataupun integriti kita, ini boleh.
Najib menyatakan penerimaan wang daripada Raja Abdullah itu tidak perlu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kerana ia adalah pemberian peribadi.
Najib turut kemudian menyatakan beliau ada membayangkan kepada Kabinet berhubung sokongan Raja Abdullah itu namun tidak secara terperinci.
Terdahulu, Najib memberitahu Mahkamah bahawa beliau tidak pernah memaklumkan kepada Raja Abdullah berhubung pemulangan wang sebanyak AS$620 juta iaitu sebahagian wang AS$681 juta yang dimasukkan ke dalam akaunnya.
Beliau juga tidak memaklumkan kepada Tanore Finance Corp., syarikat yang memasukkan wang berkenaan ke dalam akaunnya sebaliknya Najib menyatakan beliau menulis surat memaklumkan kepada AmBank bagi menyatakan hasratnya untuk memulangkan baki wang tersebut kepada syarikat terbabit.
Kamal Baharin: Saya cadangkan, Datuk Seri tidak memaklumkan kepada Raja Abdullah kerana Datuk Seri tahu wang tersebut bukannya daripada Raja Abdullah.
Najib: Tidak setuju.
Tanore Finance adalah syarikat yang dikawal sekutu Jho Low bernama Eric Tan Kim Loong.
Pada peringkat awal, Najib menyatakan, beliau bertindak memulangkan baki wang derma tersebut kerana pilihan raya tamat dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak memerlukan wang sebanyak itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN