Tahun Melawat Melaka jana RM12.68 bilion

Tahun Melawat Melaka jana RM12.68 bilion

MOHD. ALI Rustam (tengah) diiringi Ab. Rauf Yusoh (tiga dari kiri) menyempurnakan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran WTD 2025 di Persiaran Jalan Merdeka, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 berjaya merekodkan perolehan pendapatan berjumlah RM12.68 bilion sehingga Disember lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, angka itu merupakan hasil daripada kehadiran kira-kira 15 juta pelancong menerusi pelbagai aktiviti pelancongan sejak Januari hingga Disember 2024.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 202 acara berjaya dianjurkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa merangkumi aspek kebudayaan, seni warisan, sukan dan agama.

“Melaka membuktikan sebagai negeri terus terkehadapan dalam sektor pelancongan yang tidak pernah sunyi mahupun sepi dengan pelbagai acara dan program saban minggu diadakan.

“TMM 2024 yang akan diteruskan sehingga 2026 sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia berjaya membuatkan semua jaringan jalan raya penuh, malah laluan udara dan air juga dipenuhi dengan kapal dan pesawat menuju ke Melaka.

“Saya mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua yang terlibat termasuk pengamal media yang telah menyumbang tenaga menjayakan TMM 2024,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 di Persiaran Jalan Merdeka di sini, malam tadi.

Sambutan penuh warna-warni itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Ab. Rahman.

Tambah Ab. Rauf, Melaka bakal menerima kehadiran delegasi dari 159 negara serta ahli-ahli United Nations World Tourism Organization (UNWTO) sempena WTD dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) pada September 2025.

“Kalau dahulu, kita bergiat aktif mempromosikan Melaka sehingga ke luar negara, tetapi sekarang sebagai kota pelancongan hebat, kita membawa dunia ke Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya