IPOH: Lebih tiga juta kenderaan dijangka memasuki Perak melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak (MKJR) Perak, Datuk Nor Sham Rahman berkata, jumlah tersebut adalah anggaran pengguna jalan raya dari Tanjung Malim ke Parit Buntar.
“Jumlah itu tidak termasuk pengguna Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), ia hanya anggaran untuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.
“Peningkatan aliran trafik ini dijangka bermula pada 27 dan 28 Januari termasuk dua hari selepas perayaan iaitu Sabtu dan Ahad untuk pulang semula ke ibu kota,” katanya pada Program Selamat Di Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di sini hari ini.
Menurut Nor Sham, bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik, pengguna dinasihatkan menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
“Pengguna terutamanya dari Kuala Selangor, Banting dan Sabak Bernam dinasihatkan supaya menggunakan Lebuhraya WCE sehingga ke Changkat Jering dan keluar semula ke Lebuhraya PLUS,” katanya.
Nor Sham berkata, pengguna lebuh raya disarankan supaya mematuhi cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan dan mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.
“Pengguna juga dinasihatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan, memastikan baki e-Wallet dan kad Touch ‘n Go mencukupi demi mengelakkan sebarang masalah ketika di plaza tol,” katanya. – UTUSAN