SHAH ALAM: Barisan juri program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) mencuri tumpuan apabila ‘berbalah’ mempertahankan pendapat masing-masing semasa proses penjurian.
Dalam nada berseloroh, juri yang terdiri daripada penyanyi, Cakra Khan dan Datuk Yusry Abdul Halim dilihat memberikan respons berbeza terhadap persembahan peserta, Zazleen Zulkafli.
“Tadi saya mahu ajak Yusry bergaduh kerana merasakan walaupun pertandingan ini menginginkan persembahan yang ‘wow’ dengan penekanan klimaks semasa nyanyian.
“Namun sebagai artis, wajar ada rasa takut untuk memberikan nyanyian yang dirasakan berisiko. Jadi dia (Zazleen) memilih jalan selamat kerana khuatir berlaku ‘boomerang’ semasa persembahan,” katanya ketawa.
Cakra mengulas pendapat Yusry yang meminta Zazleen menaikkan ‘key’ nyanyian semasa persembahan lagu Dari Sinar Mata semasa konsert minggu kelima di Studio TV3, Glenmarie di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, penyanyi Kekasih Bayangan itu merasakan perselisihan pendapat adalah perkara yang positif menunjukkan kepelbagaian proses penilaian daripada juri terlibat.
“Setiap juri ada pendapat masing-masing, saya juga belajar daripada juri yang lain baik Yusry mahupun Ziana Zain.
“Namun saya sekadar menyuarakan pendapat dan berharap ia diterima lebih baik oleh semua penonton,” jelasnya.
Terdahulu, enam peserta CSOIAM Zazzleen, Eylia Guntabid, Kai Deva, Mariam, Marygrace dan Jimi terselamat kerana tiada penyingkiran dilakukan semasa konsert minggu kelima.
Bagaimanapun, mereka perlu bersedia untuk persembahan duet pada konsert minggu hadapan yang turut menampilkan Marsha Milan, Haqiem Rusli, Shiha Zikir, Aisha Retno, Amir Masdi dan Khai Bahar.
Juara CSOIAM bakal menerima hadiah wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun. -UTUSAN