PUTRAJAYA: Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Berkeperluan Khas atau Tabika Autisme di bawah Jabatan kemajuan Masyarakat (Kemas) perlu diperluaskan ke seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha strategik Kemas untuk memperluas akses pendidikan inklusif kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas.
“Kita dalam proses pelaksanaan Tabika Autisme yang akan mula beroperasi di Melaka dan saya mahu ia diperluas ke seluruh negara,” katanya ketika berucap sempena Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Kemas di sini hari ini.
Tabika Kemas Autisme pertama di Malaysia akan dibuka pada tahun ini di setiap daerah bermula di Melaka dengan mengutamakan anak-anak golongan B40.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, inisiatif tersebut merupakan antara lima cadangan yang dikemukakan untuk dilaksanakan Kemas dalam mencipta lebih banyak inisiatif berimpak tinggi di masa akan datang.
Jelasnya, empat lagi cadangan itu termasuk pelan digital pendidikan awal kanak-kanak yang akan memanfaatkan 11,000 tabika dan hampir 200,000 pelajar, pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) Kemas 2.0.
Ini termasuk memperkasa ekonomi dan keusahawanan warga desa melibatkan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa dan Program Peningkatan Pendapatan serta tumpuan terhadap tadbir urus jentera Kemas perlu diperkukuhkan agar lebih cekap dan mampan.
Ahmad Zahid juga mahu melihat Bahagian Pendidikan Kanak-Kanak, Bahagian Pembangunan Komuniti dan Bahagian Pendidikan Kemahiran mempelopori pendekatan itu secara bersama.
“Saya ingin melihat Kemas melakukan anjakan strategik dengan memperkukuh kerjasama bersama komuniti setempat, agensi kerajaan, dan sektor swasta,” katanya. – UTUSAN