SEREMBAN: Sebuah syarikat perkhidmatan logistik didenda RM190,000 setelah didapati bersalah atas pertuduhan memiliki barang kawalan minyak diesel sebanyak 36,654 liter tanpa lesen sah, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat KIJ Global Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarahnya, Nazrulkamal Mohammad, 43, selepas pertuduhan dibacakan.
“Setelah meneliti fakta kes serta mengambil kira faktor kepentingan awam, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM190,000 terhadap KIJ Global Sdn Bhd,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan RM106,296.60 serta kapal tangki Aliya Sari milik syarikat dilucuthak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu 36,654 liter diesel dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara borong tanpa lesen.
Kesalahan dilakukan di sebuah jeti di Kampung Tanjung Agas, Pekan Pasir Panjang, Port Dickson kira-kira pukul 9 pagi, 10 November 2023.
Sehubungan itu, syarikat telah melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta yang sama.
Mana-mana pertubuhan perbadanan yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda maksimum RM5 juta.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Alimah Mohd. Sanusi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN