KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafiq Kyle, memasang harapan untuk bekerjasama dengan produksi luar negara seperti Korea Selatan, Thailand dan Filipina.
Merasakan perjalanan untuk debut di Hollywood masih jauh, Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, mahu bersikap realistik dengan meletakkan negara Asia sebagai target utama mengembangkan bakat.
“Bulan lalu saya terima banyak respons daripada penonton Thailand, Filipina dan Singapura untuk drama One Cent Thief musim pertama. Saya gembira kerana naskhah itu dapat membuka mata orang luar terhadap bakat anak Malaysia.
“Saya lihat trend platform penstriman hari ini, mereka akan gunakan perkara yang tular di sesebuah negara untuk menjalinkan kerjasama seperti filem Heart of Stone yang mengambil Alia Bhatt berlakon selepas naskhahnya meletup.
“Secara peribadi saya tidak meletakkan Hollywood sebagai fokus utama sekarang sebaliknya negara Asia seperti Korea,Thailand dan Filipina. Kita boleh usahakan, sebab karya kita dalam air tangan yang sama.
“Saya menantikan ada rezeki itu untuk tahun ini. Jika ke Hollywood, itu dianggap bonus,” katanya.
Syafiq ditemui di majlis sidang media dan tayangan episod pertama One Cent Thief musim kedua di TGV Suria KLCC, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pelakon itu percaya cita-cita itu akan dapat dicapai sekiranya karya anak tempatan kita diiktiraf dan dipandang oleh negara luar.
“Saya sokong pilihan pelakon lain yang perkenalkan dan ‘jual’ diri mereka ke negara luar. Tapi saya percaya bahawa kita perlu angkat naskhah kita terlebih dahulu.
“Contohnya saya tidak pernah kenalkan diri saya di Bangkok, tapi selepas One Cent Thief ditayangkan di Netflix, saya dikenali di sana.
“Saya percaya niat akan menghalalkan cara itu bergerak. Kalau rezeki itu sudah hak kita, akan jadi milik kita juga.
“Contohilah negara sekeliling kita sangat patriotik dengan ‘barang’ mereka. Kita perlu didik penonton kita untuk menghargai karya anak bangsa kita juga,” tambahnya.