TANGKAK: Seorang lelaki yang sedang disiasat berkaitan dadah meloloskan diri dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib berkata, lelaki itu, Mohd. Saifulnizam Zakaria, 38, melarikan diri kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam ketika dia kini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kami sedang memburu seorang tahanan yang beralamat di No. 122, Kampung Padang Lalang, Tangkak. Suspek berbadan kecil, kurus, berkulit gelap, tinggi lebih kurang 170 sentimeter.
“Usaha mengesannya diteruskan dan Op Tutup digerakkan melibatkan semua elemen termasuk Unit Anjing Pengesan K9 di semua pintu keluar dan masuk daerah Tangkak serta daerah polis yang bersempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 kanun yang sama.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau pegawai penyiasat. Asisten Superintenden Sharidathul Aflaha Ismail menerusi talian 019-2699573. – UTUSAN