Suspek bakar rumah di Kupang pernah ronda bersama penduduk cari ‘pelaku’

Suspek bakar rumah di Kupang pernah ronda bersama penduduk cari ‘pelaku’

IBRAHIM Ali bersama isterinya melihat kesan kebakaran rumah mereka akibat perbuatan khianat di Kampung Tanah Periuk, Kupang di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Tangkapan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai terlibat membakar sembilan rumah di Kupang, di sini melegakan penduduk di situ selepas hampir sebulan mereka tidak dapat tidur lena.

Malah, mangsa-mangsanya juga hairan apabila dendam dikatakan menjadi motif utama suspek yang melakukan perbuatan jenayah itu selain lelaki terbabit turut pernah meronda bersama-sama penduduk untuk mencari pelaku kejadian berkenaan.

Ahmad Osman, 49, berkata, dia dan penduduk lain terpaksa bersengkang mata selepas kejadian kebakaran bersiri itu berlaku sejak 24 Disember tahun lalu yang menyebabkan mangsa tinggal sehelai sepinggang serta menanggung kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

“Selepas beberapa kebakaran berlaku, penduduk syak ia ada kaitan dengan perbuatan khianat sebelum orang kampung buat rondaan keselamatan. Saya terkejut apabila mendapat tahu penduduk yang tinggal berhampiran ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.

“Suspek budak muda, berkawan juga dengan orang kampung di sini. Dia dikatakan ada datang juga sewaktu penduduk membuat rondaan sebab itu memang tidak sangka dia terlibat,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanah Periuk, hari ini.

Salah seorang mangsa, Mohd. Zambri Ahmad, 45, yang pernah sebumbung tempat kerja dengan suspek juga menjelaskan tidak pernah mendengar kejadian buli membabitkan lelaki itu yang dipanggil ‘bro’

“Saya tidak rapat sangat dengan dia dan jarang berjumpa. Dia pernah datang sekali ke rumah saya pada hari raya kira-kira empat tahun lalu. Saya pelik kenapa dia bakar rumah saya kerana dulu masa kerja pun kami tidak sama bahagian dan tak dengar pula ada kes buli di situ.

“Bila tahu dia jadi suspek, saya memang terkejut sebab kawan-kawan juga. Entah kenapa dia sanggup buat macam itu, polis kata dendam tetapi saya tidak tahu dendam apa. Saya tak buat apa-apa pun kepada dia. Malah, rumah orang lain yang tidak ada kena mengena pun dibakar,” katanya.

Mohd. Zambri yang kerugian lebih RM150,000 menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis dan berharap suspek dikenakan hukuman setimpal.

Adnan Hasan, 40, berkata, dia tidak mengenali suspek kerana tinggal di kampung berlainan selain tidak pernah bekerja di kilang getah yang dikatakan menjadi tempat kerja lelaki itu.

“Rumah pusaka berusia 100 tahun musnah sepenuhnya dengan kerugian lebih RM300,000, waktu itu saya dan isteri berada di Kuala Perlis kerana mahu ke Langkawi. Selain kehilangan harta benda, tujuh ekor kucing dalam sangkar juga rentung,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Rosimah Awang Itam, 58, memaklumkan dia juga tidak mengenali suspek.

Akhbar ini melaporkan, dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar motosikal sehingga memusnahkan sembilan rumah di Kupang. Suspek yang merupakan penganggur dan penduduk di Kupang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu.Suspek bakar rumah di Kupang pernah ronda bersama penduduk cari ‘pelaku’ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya