KUALA LUMPUR: Tahun 2024 menyaksikan pencapaian membanggakan bagi Suria FM apabila stesen radio tersebut berjaya merekodkan pertambahan 300,000 pendengar baharu.
Berkongsi perkembangan itu, Pengurus Besar merangkap penyampai Suria FM, Rosalinda Abdul Majid atau DJ Lin memaklumkan rekod tersebut adalah berdasarkan kaji selidik terkini yang dikeluarkan GFK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2024.
“Jumlah tersebut adalah bagi semua segmen utama Suria FM dengan segmen Suria Cinta yang merekodkan peningkatan pendengar tertinggi bagi tahun ini.
“Pertambahan ini adalah di luar kawalan pihak kami dan peningkatan yang dicatatkan bukan rekaan. Ia adalah satu pencapaian yang sangat positif.
“Saya anggap ini rezeki dari Allah dan hikmah selepas kontroversi yang melanda Suria FM sekitar awal tahun ini. Saya berterima kasih kepada semua pendengar, termasuk 300,000 pendengar baru. Mereka adalah hadiah atas kesabaran bagi ujian yang seluruh warga Suria FM tempuhi tahun ini,” katanya yang ditemui sempena sambutan Ambang Tahun Baharu SURIA x the Curve, malam tadi.
Acara gilang gemilang itu dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air antaranya Dayang Nurfaizah, Black Hanifah, Atilia Haron, Suki Low, Zubir Khan, Iman Troye, Ruffedge, Kristal X dan ramai lagi.
Selain DJ Lin, sambutan yang bermula seawal pukul 4 petang itu juga dikendalikan barisan penyampai stesen tersebut antaranya Datuk Fizz Fairuz, Suraya, Chiwan dan Kai.
Mengulas tentang acara sambutan ambang tahun baharu, penyampai radio berusia 49 tahun itu meluahkan rasa gembira kerana Suria FM tahun ini berpeluang meraikan pendengar menerusi acara gilang gemilang yang berlokasi di The Curve itu.
“Tahun ini Suria FM mengalu-alukan kedatangan tahun baharu dengan acara berskala besar yang dianjurkan bersempena ulang tahun ke-20 The Curve.
“Artis yang membuat persembahan pada acara ini adalah gabungan yang senior dan baru, yang dipilih berdasarkan kesepakatan pihak Suria FM dan The Curve,” katanya.
Disoal mengenai perancangan bagi tahun 2025, DJ Lin memaklumkan pihaknya akan melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan bagi memantapkan kandungan dan menarik lebih ramai pendengar di masa akan datang.
“Kami kekalkan barisan penyampai sedia ada, tinggal lagi kami akan mantapkan kandungan dengan melaksanakan penambahbaikan dan suntikan pembaharuan bagi setiap segmen SURIA FM.
“Ini juga merangkumi penyusunan dan pemilihan lagu untuk memenuhi citarasa pendengar stesen radio ini,” kongsinya lagi.